Imam Ahmad merupakan seorang ulama besar hadith. Nama penuh beliau ialah Aḥmad bin Muḥammad bin Ḥanbal Abu ʿAbd Allah al-Shaybani. Imam Ahmad merupakan anak murid kepada Imam As Syafie.
Pada satu ketika, terdetik hati beliau untuk pergi ke sebuah kota di Iraq. Imam Ahmad ketika itu sudah agak berusia. Entah kenapa keinginan untuk ke tempat itu sangat melonjak. Lantas beliau pun bermusafir ke sana.
Setelah tiba di kota itu, azan Maghrib berkumandang. Imam Ahmad pun berjemaah solat Maghrib di masjid terhampir. Penduduk di sana langsung tidak mengetahui bahawa beliau adalah Imam Ahmad. Selesai solat, beliau ingin berehat di dalam masjid. Tiba2 datang seorang penjaga masjid menegur beliau:
Penjaga masjid: Ya Syeikh, anda buat apa di sini?
Imam Ahmad: Saya sedang bermusafir. Saya ingin berehat sebentar di dalam masjid ini.
Penjaga masjid: Tidak boleh! Syeikh mesti keluar dari dalam masjid ini selepas solat.
Imam Ahmad lantas keluar dari dalam ruangan solat dan berehat di perkarangan masjid pula.
Penjaga masjid itu datang semula menemui Imam Ahmad lalu menyuruh beliau keluar daripada kawasan masjid. Begitu keras arahan penjaga masjid itu kepada Imam Ahmad sehingga boleh didengari oleh si pembuat roti yang sedang berniaga bersebelahan masjid itu.
Pembuat roti: Ya Syeikh, marilah berehat di rumah saya. Tuan boleh bermalam dan menginap di rumah saya.
Imam Ahmad bersetuju dengan pelawaan si pembuat roti itu.
Sampai di rumahnya, Imam Ahmad dapat mengesan satu perlakuan unik si pembuat roti itu. Setiap gerak-geri dan perbuatan hamba Allah itu pasti disertai dengan Istighfar. Ketika mengadun roti, memecahkan telur, mengangkat barang Dan sebagainya, mulutnya tidak putus2 menyebut Istighfar. Dia hanya berhenti ketika Imam Ahmad mengajaknya bersembang.
Imam Ahmad lantas bertanya:
Imam Ahmad: Wahai tuan, sudah berapa lama tuan mengamalkan zikir Istighfar ini?
Si Pembuat Roti: Sudah lama Syeikh. Sejak saya masih remaja sehinggalah sekarang.
Imam Ahmad: Apa manfaat yang engkau perolehi dengan membaca Istighfar setiap masa ini?
Si Pembuat Roti: Tiada satu pun hajat yang saya ingini tidak dipenuhi oleh Allah. Cuma satu hajat sahaja yang saya sedang tunggu saat pemakbulannya.
Imam Ahmad: Apakah hajatmu itu.
Si Pembuat Roti: Saya ada mendengar tentang seorang ulama yang terkenal bernama Imam Ahmad. Saya sangat ingin dengannya. Saya berdoa kepada Allah supaya diizinkan saya untuk bertemu dengannya.
Lantas Imam Ahmad bertakbir memuji Allah.
Imam Ahmad: Allahu Akbar! Akulah Imam Ahmad yang engkau ingin jumpa. Dengan istighfarmu hatiku terdetik untuk ke sini. Dengan istighfarmu aku diarahkan keluar dari masjid. Dengan istighfarmu kita dapat bertemu dengan keizinan Allah.